𝐁𝐢𝐥𝐚 𝐒𝐮𝐟𝐢 𝐅𝐚𝐥𝐬𝐚𝐟𝐢 𝐝𝐚𝐧 𝐀𝐡𝐥𝐢 𝐒𝐮𝐧𝐧𝐚𝐡 𝐌𝐞𝐧𝐠𝐡𝐮𝐫𝐚𝐢 "𝐊𝐮𝐧 𝐅𝐚𝐲𝐚𝐤𝐮𝐧"... 𝐑𝐮𝐩𝐚𝐧𝐲𝐚 𝐌𝐞𝐫𝐞𝐤𝐚 𝐓𝐚𝐤 𝐌𝐚𝐤𝐬𝐮𝐝𝐤𝐚𝐧 𝐁𝐞𝐧𝐝𝐚 𝐘𝐚𝐧𝐠 𝐒𝐚𝐦𝐚.
Allah berfirman:
إِنَّمَا أَمْرُهُ إِذَا أَرَادَ شَيْئًا أَنْ يَقُولَ لَهُ كُنْ فَيَكُونُ
"..sekiranya Dia menghendakkan SESUATU, Dia hanya berkata kepadaNYA (sesuatu itu): 'Jadi', maka jadilah ia."
Sekali baca, ayat ini nampak mudah.
Tetapi ada satu soalan yang telah dibincangkan dan harus difahami dengan baik.. Allah berkata kepada siapa?
Perkataan "lahu" (kepadaNYA) itu merujuk kepada siapa?
Kalau benda itu belum wujud, macam mana boleh dikatakan Allah berkata "kepada-NYA"?
Di sinilah bermulanya perbezaan yang sangat besar antara Ahli Sunnah dengan metafizik Ibn 'Arabi.
---
𝐀𝐡𝐥𝐢 𝐒𝐮𝐧𝐧𝐚𝐡: "𝐤𝐮𝐧" 𝐁𝐮𝐤𝐚𝐧 𝐁𝐞𝐫𝐦𝐚𝐤𝐬𝐮𝐝 𝐀𝐝𝐚 𝐎𝐛𝐣𝐞𝐤 𝐘𝐚𝐧𝐠 𝐌𝐞𝐧𝐮𝐧𝐠𝐠𝐮
Bagi Ahli Sunnah, ayat "Kun Fayakun" bukan bererti Allah sedang bercakap dengan suatu objek yang telah sedia ada. Sebaliknya, ia adalah ungkapan tentang kepastian terlaksananya kehendak Allah.
Apabila Allah menghendaki sesuatu, dan kehendak-Nya bertaalluq dengan penciptaan makhluk itu, maka tidak ada satu saat pun yang memisahkan antara kehendak Allah dengan terhasilnya makhluk tersebut.
Sebab itulah al-Quran menggambarkannya dengan lafaz: Jadi, maka jadilah. Tiada pemisah antara kaf dan nun.
Bukan kerana sebelum itu sudah ada satu objek yang sedang mendengar ucapan tersebut, tetapi kerana kehendak Allah pasti berlaku serta-merta.
Jadi, perkataan "lahu" dalam ayat al-Quran tersebut tidak menunjukkan sudah ada suatu objek yang benar-benar menjadi sasaran firman Allah sebelum penciptaan.
---
𝐓𝐞𝐭𝐚𝐩𝐢 𝐈𝐛𝐧 '𝐀𝐫𝐚𝐛𝐢 𝐌𝐞𝐦𝐚𝐡𝐚𝐦𝐢 𝐀𝐲𝐚𝐭 𝐈𝐧𝐢 𝐃𝐞𝐧𝐠𝐚𝐧 𝐂𝐚𝐫𝐚 𝐘𝐚𝐧𝐠 𝐁𝐞𝐫𝐛𝐞𝐳𝐚
Dr. Khalif Muammar, ketika menghuraikan konsep Martabat Tujuh, menjelaskan bahawa menurut metafizik Ibn 'Arabi, perkataan "lahu" itu ditujukan kepada suatu "objek".
Objek itulah yang dinamakan A'yan Thabitah.
Maksudnya, sebelum sesuatu muncul di alam nyata, sudah ada satu objek yang menjadi sasaran firman "Kun".
Prof. Syed Muhammad Naquib al-Attas menghuraikan perkara ini lebih lanjut dalam Commentary on the Hujjat al-Siddiq. Beliau menyebut bahawa objek tersebut mempunyai:
* shay'iyyah (objek/thingness),
* sama' (mendengar),
* imtithal (mematuhi),
* isti'dad (potensi menerima kewujudan),
* bahkan mempunyai quwwah yang membolehkannya memberikan respons terhadap firman "Kun".
Lebih jauh lagi beliau menulis bahawa objek tersebut ialah:
"the active agent of its own coming into existence." Yakni, objek itu sendiri menjadi agen aktif kepada proses kewujudannya.
Di Sinilah Persoalan Sebenarnya Bermula. Sekarang cuba fikir.
Kalau sebelum alam dicipta sudah ada objek yang:
* menjadi sasaran firman Allah,
* mempunyai "thingness",
* boleh mendengar,
* boleh mematuhi,
* mempunyai potensi,
* malah berperanan dalam proses kewujudannya,
maka... apa sebenarnya yang masih belum ada? Bukankah ini bermakna bahawa sudah ada sesuatu yang menjadi objek kepada firman "Kun"?
Di sinilah Ahli Sunah mengatakan bahawa konsep ini sudah tidak lagi sama dengan الخلق من العدم (penciptaan daripada tiada) yang menjadi asas akidah Ahli Sunnah
---
𝐌𝐞𝐧𝐠𝐚𝐩𝐚 𝐔𝐥𝐚𝐦𝐚 𝐌𝐞𝐧𝐠𝐚𝐭𝐚𝐤𝐚𝐧 𝐈𝐛𝐧 '𝐀𝐫𝐚𝐛𝐢 𝐌𝐞𝐦𝐛𝐚𝐰𝐚 𝐊𝐞𝐩𝐚𝐝𝐚 𝐐𝐢𝐝𝐚𝐦 𝐀𝐥𝐚𝐦?
Inilah yang sering disalahfahami.
Apabila ulama seperti Sultan al-'Ulama' al-'Izz ibn 'Abd al-Salam mengkritik Ibn 'Arabi sehingga mengatakan beliau membawa fahaman qidam alam, mereka bukan bermaksud Ibn 'Arabi berkata pokok, gunung dan manusia ini qadim seperti Zat Allah.
Apabila sebelum penciptaan sudah ditetapkan adanya objek-objek tetap (A'yan Thabitah) yang menjadi sasaran firman Allah, mempunyai identiti, pendengaran, potensi, bahkan menjadi asas kepada kewujudan makhluk di alam, maka dari sudut Ahli Kalam, alam tidak lagi difahami sebagai dicipta daripada ketiadaan mutlak.
Di sini kita dapat faham ketelitian fatwa ulama hebat seperti al-Iz bin Abd al-Salam, dia meneliti bahawa konsep tersebut akhirnya membawa kepada suatu bentuk azaliyyah alam, walaupun bukan dalam bentuk kewujudan fizikal yang kita lihat hari ini.
---
𝐒𝐞𝐛𝐚𝐛 𝐈𝐭𝐮 𝐏𝐞𝐫𝐛𝐚𝐡𝐚𝐬𝐚𝐧 𝐈𝐧𝐢 𝐁𝐮𝐤𝐚𝐧 𝐒𝐞𝐤𝐚𝐝𝐚𝐫 𝐏𝐚𝐬𝐚𝐥 𝐒𝐚𝐭𝐮 𝐏𝐞𝐫𝐤𝐚𝐭𝐚𝐚𝐧
Ramai menyangka isu ini hanya berkisar tentang tafsiran perkataan kepadaNYA "lahu" dalam ayat "Kun Fayakun".
Sebenarnya tidak. Di belakang satu perkataan itu tersembunyi dua kerangka akidah yang berbeza.
Ahli Sunnah melihat "Kun" sebagai ungkapan tentang kesempurnaan kehendak dan kekuasaan Allah. Tiada objek yang menunggu untuk menerima firman-Nya.
Manakala dalam metafizik Ibn 'Arabi sebagaimana dihuraikan oleh Prof. al-Attas dan diringkaskan oleh Dr. Khalif Muammar, firman "Kun" benar-benar mempunyai objek, iaitu A'yan Thabitah, yang menjadi sasaran perintah dan khitab tersebut.
Dan di situlah sebenarnya bermula kritikan para mutakallimin terhadap konsep A'yan Thabitah, bahkan menjadi antara sebab mengapa tokoh sebesar al-'Izz ibn 'Abd al-Salam menganggap fahaman tersebut membawa kepada implikasi qidam alam (sedia ada alam).