Kongres Wahabi Karrami VS Ulama Hanabilah Athariyah
Walaupun Asya'irah membezakan antara kalam nafsi dan kalam lafzi, mereka sama sekali tidak mengatakan bahawa kalam nafsi sebagai sifat Allah itu baharu. Sebaliknya, kalam nafsi dianggap qadim dan sediakala. Hanya kalam lafzi yang dianggap sebagai makhluk kerana ia bersandar kepada makhluk, bersifat baharu, ada permulaan, dan ada pengakhiran.
Asya'irah tidak mengatakan bahawa perkara baharu berlaku pada zat Tuhan; yang baharu hanya berlaku pada selain Tuhan. Inilah akidah yang mensucikan Tuhan daripada sebarang perkara baharu, sesuai dengan prinsip mukhalafatuhu lilhawadis.
Sebaliknya, golongan yang menganut ajaran falsafah Taimiyyah Salafi Wahabi mengatakan bahawa kalam Allah itu baharu, dan perkara baharu berlaku pada zat Allah. Mereka berpendapat bahawa zat Allah mengalami perubahan apabila Allah melakukan perbuatan baharu.
Sebagai contoh, mereka mengatakan bahawa apabila Allah bercakap, Allah mengadakah huruf dan suara yang baharu pada zat-Nya. Apabila Allah duduk, Allah membaharukan suatu perbuatan pada zat-Nya yang disebut sebagai duduk, turun, datang, dan sebagainya. Inilah falsafah Salafi Wahabi yang mereka anuti daripada tokoh pujaan mereka, Ibn Taimiyyah.
Kita dapat melihat bagaimana golongan Wahabi dengan berani menjelaskan pendirian mereka bahawa kalam Allah itu baharu (hadis), sedangkan tiada seorang pun daripada kalangan salaf yang mengatakan demikian. Sebaliknya, para salaf menolak pendapat bahawa kalam Allah itu baharu, kerana semua yang baharu itu adalah makhluk.
Tambahan pula, Kongres Wahabi Karrami dengan jelas mengatakan bahawa kalam Allah terdiri daripada huruf dan suara yang baharu. Hal ini tidak pernah disebut oleh salaf, ahli hadis, atau Hanabilah.
Sebagai contoh, kita boleh melihat tokoh Hanabilah, Ibn Qudamah, yang mengarang kitab berjudul al-Sirat al-Mustaqim fi Ithbat al-Harf al-Qadim. Jelas daripada tajuknya bahawa Ibn Qudamah menetapkan kewujudan huruf tetapi huruf yang qadim dan sediakala. Ini menunjukkan bahawa para ulama Hanabilah, meskipun mereka mengisbatkan huruf dan suara kepada Allah, namun mereka berpendapat bahawa huruf dan suara itu adalah qadim dan sediakala.
Mereka tidak mengatakan bahawa perkara baharu berlaku pada zat Allah, seperti yang diajarkan oleh falsafah Taimiyyah Salafi Wahabi.
Menurut Hanabilah, huruf adalah perkataan yang difahami, manakala suara pula adalah perkataan yang didengari. Berdasarkan takrif mereka ini, Hanabilah menetapkan huruf dan suara kepada Allah. Namun, ia bukanlah huruf dan suara dalam makna zahir yang dialami oleh makhluk, seperti yang terhasil daripada pertembungan dua jisim atau gelombang. Huruf dan suara tersebut bukanlah baharu, sebaliknya ia adalah huruf dan suara yang qadim dan sediakala, sebagai sifat-Nya.
Hal yang sama disebutkan oleh al-Qadhi Abu Ya'la al-Hanbali:
وكذلك نقول تكلم بحرف وصوت، وإن كان هذا يوجب الحدث في صفاتنا ولا يوجبه في حقه كذلك النزول
“Demikian juga Allah berkata-kata dengan huruf dan suara, meskipun hal ini melazimkan perkara baharu pada sifat kita, tetapi ia tidak melazimkan perkara baharu pada zat Allah, demikian juga sifat Nuzul.”
Kita dapat melihat di sini bahawa al-Qadhi Abu Ya'la menegaskan bahawa huruf dan suara itu adalah qadim dan sediakala, bukan baharu seperti yang diajarkan oleh falsafah Taimiyyah Salafi Wahabi.
Al-Qadhi Abu Ya'la juga berkata:
واعلم أنا وإن أثبتنا الحروف والأصوات فلا نقول إن الله يتكلم كلاما بعد كلام لأن ذلك يوجب حدث الكلام
“Ketahuilah bahawa walaupun kami mengisbatkan huruf dan suara, tetapi kami sama sekali tidak mengatakan bahawa Allah bercakap satu demi satu, sedikit demi sedikit daripada kalam-Nya, kerana hal sedemikian itu melazimkan bahawa kalam Allah itu baharu.”
Di sini juga jelas bahawa tokoh Hanbali ini menafikan bahawa kalam Allah itu baharu. Dia mengisbatkan huruf dan suara, tetapi huruf dan suara tersebut juga bukan baharu.
Tokoh Hanabilah dan Athariyyah, Syeikh al-Safarini al-Hanbali menyebut:
وتحرير مذهب السلف أن الله متكلم وأن كلامه قديم وأن القرآن كلام الله وأنه قديم حروفه ومعانيه
“Kesimpulan mazhab salaf adalah bahawa Allah bersifat berkata-kata, dan kata-kata-Nya adalah qadim dan sediakala. Al-Quran adalah kalam Allah yang qadim dan sediakala, HURUF dan maknanya juga qadim dan sediakala.”
Contoh ini juga menunjukkan bahawa ulama Hanbali dan Athari, iaitu al-Safarini, menjelaskan bahawa kalam Allah adalah qadim dan hurufnya juga qadim.
Kongres Wahabi Karrami mengatakan bahawa Allah berkata-kata dengan huruf dan suara yang baharu, tetapi Ibn Qudamah mengatakan bahawa huruf dan suara itu qadim dan sediakala.
Kongres Wahabi Karrami mengatakan bahawa Allah berkata-kata dengan huruf dan suara yang baharu, tetapi al-Qadhi Abu Ya'la mengatakan bahawa huruf dan suara itu qadim dan sediakala.
Kongres Wahabi Karrami mengatakan bahawa Allah berkata-kata dengan huruf dan suara yang baharu, tetapi al-Safarini al-Hanbali mengatakan bahawa huruf dan suara itu qadim dan sediakala.
Golongan Wahabi berpendapat demikian kerana taqlid buta kepada falsafah Taimiyyah Salafi Wahabi, dan mereka menolak petunjuk al-Quran, Sunnah, serta pendapat salaf dan ulama Hanabilah Ahli Hadis. Namun, mereka tetap mendakwa bahawa mereka mengikuti manhaj Hanabilah.