Seperti yang kita saksikan lagi hari ini, terdapat segelintir pihak yang berpegang kepada falsafah Taimiyah Salafi Wahabi menunjukkan kekeliruan mereka dalam memahami asas-asas akidah yang sepatutnya mudah difahami.
Dalam sesi siaran langsung kami, kami telah menegaskan dengan jelas bahawa kita perlu menjaga adab dalam menisbahkan perkara-perkara yang kurang elok kepada Allah, sebagai tanda hormat kepada-Nya dan untuk melindungi kefahaman orang awam daripada kesalahan fahaman tentang sifat-sifat Allah.
Oleh itu, apabila ditanya tentang siapa yang mencipta babi, jawapan yang sesuai bagi orang awam ialah, "Allah mencipta segala-galanya." Jawapan ini cukup memadai tanpa perlu menjelaskan secara terperinci bahawa Allah menciptakan babi, kecuali dalam majlis pengajian ilmu di mana penjelasan lebih mendalam diperlukan.
Tujuan utama pendekatan ini adalah untuk menjaga adab kepada Allah dan melindungi kefahaman orang awam. Walaupun dalam akidah kita, sudah tentu kita meyakini bahawa Allah adalah Pencipta segala sesuatu, termasuklah babi.
Namun begitu, sesetengah pihak cuba mengaitkan pandangan mereka dengan orang awam dari pelbagai tempat sebagai hujah untuk menyokong pandangan mereka. Ini jelas menunjukkan bahawa mereka kekurangan hujah yang kukuh dan tidak memahami asas akidah dengan betul, sehingga terpaksa bersandar kepada kejahilan orang awam dan menolak petunjuk daripada al-Quran dan al-Sunnah.
Seperti yang disebut oleh al-Sabuni dalam kitab Aqidah al-Salaf dan Ashab al-Hadis:
"…mazhab Ahli Sunnah dan jalan mereka adalah bahawa segala kebaikan dan keburukan adalah daripada ketentuan Allah. Namun, tidak disandarkan kepada Allah perkara yang boleh menimbulkan kekeliruan atau membawa kepada pemahaman yang tidak tepat, seperti menyebut: Wahai Pencipta beruk, Wahai Pencipta babi, Wahai Pencipta lipas dan serangga, meskipun sudah pasti bahawa semua makhluk adalah ciptaan-Nya."
Kenyataan al-Sabuni ini jelas selari dengan pendirian yang diambil oleh Sidang Kalam. Maka, terbukti bahawa akidah Asyairah adalah sejalan dengan akidah al-Sabuni, dan al-Sabuni sendiri bermanhaj Asyairah.
Oleh itu, tidak menghairankan apabila kita semakin hari semakin melihat golongan yang berpegang kepada falsafah Taimiyah dan Salafiyah ini sering kali gagal memahami akidah Ahli Sunnah. Jelas juga bahawa pegangan dan kefahaman mereka amat jauh dan asing daripada manhaj Salafussoleh yang diteruskan kesinambungannya oleh Ahli Sunnah Asyairah.
#Aqidah #AhliSunnah #Asyairah #AkidahYangBenar #Salafussoleh