Sudah dijelaskan sebelum ini perbezaan antara tasybih dan tamsil. Boleh juga rujuk video di atas untuk memahami prinsip wahabi dalam hal ini. Secara ringkas, tasybih merujuk kepada persamaan pada beberapa aspek, manakala tamsil pula adalah penyamaan sepenuhnya antara dua perkara.
Contoh: Ali menyerupai Abu pada warna kulit mereka. Namun, secara keseluruhan, Ali tidak sama dengan Abu kerana terdapat perbezaan dalam berat badan, ketinggian, cap jari, retina mata, jenis darah, dan lain-lain. Ali hanya mempunyai persamaan dengan Abu dalam beberapa aspek tertentu tasybih , tetapi tidak secara keseluruhan tamsil.
Begitulah perbezaannya secara ringkas.
Inilah juga cara ahli falsafah dari golongan tajsim Taimiy, Salafi, dan Wahabi memahami perbezaan antara Allah dan makhluk. Mereka mengatakan bahawa Allah tidak sama sepenuhnya dengan makhluk (menolak tamsil), tetapi mereka tidak menafikan adanya persamaan dalam beberapa sifat (menerima tasybih). Menurut mereka, mesti ada beberapa persamaan dalam sifat-sifat tersebut.
Oleh itu, mereka berkata Allah beristiwa, Allah mempunyai tangan, Allah turun, dengan makna yang difahami oleh orang Arab. Maksudnya, mereka memahami perkataan-perkataan ini mengikut makna asalnya tetapi hanya berbeza dari segi bentuk, cara, dan kaifiyat. Menurut mereka, makna diketahui tetapi kaifiyat (bagaimana sifat itu) tidak diketahui. Inilah maksud mereka apabila mengatakan makna "turun" itu diketahui, tetapi cara atau kaifiyatnya tidak diketahui.
Yakni asal makna itu ada persamaan antara Allah dan makhluk (tasybih), tetapi bentuk dan caranya tidak sama dan tidak diketahui.
Guru besar falsafah mereka, yang digelar Syeikhul Islam Ibnu Taimiyah, menyatakan dalam karyanya Bayan Talbis (jilid 1, halaman 387):
وإذا كان كذلك فاسم «المشبهة» ليس له ذكر بذم في الكتاب والسنة، ولا كلام أحد من الصحابة والتابعين؛ ولكن تكلم طائفة من السلف مثل عبد الرحمن بن مهدي، ويزيد بن هارون، وأحمد بن حنبل، وإسحاق بن راهويه، ونعيم بن حماد، وغيرهم بذم المشبهة، وبينوا المشبهة الذين ذموهم؛ أنهم الذين يمثلون صفات الله بصفات خلقه، فكان ذمهم لما في قولهم من مخالفة الكتاب والسنة، إذ دخلوا في التمثيل، إذ لفظ التشبيه فيه إجمال واشتراك وإيهام، بخلاف لفظ التمثيل الذي دل عليه القرآن؛ ونفى مُوجَبَه عن الله عز وجل.
Ibn Taymiyah menyebut bahawa gelaran "musyabbihah" tidak dicela oleh agama, baik dalam al-Quran, mahupun dalam sunnah. Gelaran ini juga tidak dicela oleh para sahabat atau tabiin. Namun, terdapat beberapa ulama salaf yang mengeji golongan musyabbihah, tetapi musyabbihah yang mereka maksudkan adalah mereka yang melakukan tamsil (penyerupaan sepenuhnya).
Oleh itu, menurut Ibn Taymiyah, syarak tidak mengeji tasybih (penyerupaan pada beberapa aspek). Syarak hanya mengeji tamsil (penyerupaan secara total). Walaupun terdapat ulama salaf yang mengeji tasybih, tasybih yang mereka maksudkan sebenarnya adalah tamsil.
Sekiranya tasybih=tamsil maka itulah tasybih yang dicela, namun sekiranya tasybih≠tamsil maka tasybih ini tidak dicela. Yang dicela dalam kes kedua ini hanya tamsil sahaja.
Ibn Taymiyah konsisten dalam pendiriannya mengenai hal ini.
"..وصنف رابع: يصفونه مع كونه جسمًا بما يوصف به غيره من الأجسام، فهذا قول المشبهة الممثلة، وهم الذين ثبت عن الأمة تبديعهم وتضليلهم.."
«بيان تلبيس الجهمية في تأسيس بدعهم الكلامية» (1/ 272)
"..فأنكر السلف والأئمة على الجهمية المعطلة وعلى المشبهة الممثلة.."
«مجموع الفتاوى» (6/ 35)
"..طائفة يقولون: تجري على ظاهرها ويجعلون إتيانه من جنس إتيان المخلوق ونزوله من جنس نزولهم. وهؤلاء المشبهة الممثلة.."
«مجموع الفتاوى» (16/ 398)
Dalam nukilan daripada perkataan Ibn Taymiyah ini, beliau mengaitkan tasybih atau musyabbih yang dicela dengan makna tamsil atau mumassil. Menurutnya, tasybih yang bermakna tamsil memang dicela. Namun, jika tasybih itu hanya bermaksud adanya sedikit persamaan antara Allah dan makhluk, maka ia tidak tercela.
Pendirian al-Sabuni:
Sekarang, mari kita menilai pendirian al-Sabuni terhadap golongan yang melakukan tasybih.
Al-Sabuni berkata:
ولا يكيفونها بكيف أو شبهها بأيدي المخلوقين، تشبيه المشبهة، خذلهم الله
“Ahli Sunnah tidak membagaimanakan sifat Allah dengan bentuk atau cara tertentu. Ahli Sunnah juga tidak menyamakan (tasybih) sifat Tangan Allah dengan tangan makhluk, seperti mana yang dilakukan oleh golongan musyabbihah. Semoga Allah hapuskan mereka.”
Di sini, kita dapat melihat bahawa al-Sabuni dengan jelas menyatakan bahawa salaf menafikan tasybih. Mereka menafikan sebarang persamaan, walaupun sedikit, antara sifat Tangan Allah dan tangan makhluk. Tidak ada persamaan langsung dari segi hakikat sifat. Kemudian, al-Sabuni mencela golongan musyabbihah dan mendoakan keburukan kepada mereka.
Pendirian ini berbeza dengan pandangan Ibn Taymiyah yang mengatakan bahawa agama tidak mengeji tasybih dan golongan musyabbihah.
Al-Sabuni berkata lagi:
وعلموا وتحققوا واعتقدوا أن صفات الله سبحانه لا تشبه صفات الخلق، كما أن ذاته لا تشبه ذوات الخلق، تعالى الله عما يقول المشبهة والمعطلة علوا كبيرا، ولعنهم لعنا كثيرا
“Mereka mengetahui, meyakini, dan mempercayai bahawa sifat-sifat Allah SWT tidak menyerupai (tasybih) sifat-sifat makhluk, sebagaimana zat-Nya tidak menyerupai (tasybih) zat makhluk. Maha Suci Allah daripada apa yang diperkatakan oleh golongan musyabbihah dan mu'attilah. Semoga Allah melaknat mereka dengan laknat yang banyak.”
Al-Sabuni menegaskan lagi bahawa sifat-sifat Allah tidak memiliki sebarang persamaan (tasybih) dengan sifat makhluk, sebagaimana zat-Nya tidak menyerupai zat makhluk. Selepas itu, al-Sabuni mencela golongan musyabbihah dan mendoakan laknat ke atas mereka.
Pendapat ini jelas berbeza dengan pandangan Ibn Taymiyah, yang menyatakan bahawa syarak tidak mengeji tasybih dan tidak mencela golongan musyabbihah. Malah al-Sabuni dengan jelas menolak tasybih dan melaknat musyabbihah.
Al-Sabuni berkata:
ويثبت أصحاب الحديث نزول الرب سبحانه وتعالى كل ليلة إلى السماء الدنيا، من غير تشبيه له بنزول المخلوقين ولا تمثيل ولا تكييف
“Ahli Hadis menetapkan sifat Turun (Allah) SWT setiap malam ke langit dunia tanpa menyamakan (tasybih) dengan turunnya makhluk, tanpa menyerupakan (tamsil) dengan makhluk, dan tanpa membagaimanakan sifat itu.”
Di sini, al-Sabuni secara jelas menafikan tasybih dan tamsil. Jika ada yang mengatakan bahawa penolakan al-Sabuni terhadap tasybih bermaksud menolak tamsil, maka jawapannya adalah bahawa al-Sabuni tidak menyamakan tasybih dengan tamsil. Sebaliknya, beliau membezakan antara kedua-duanya, sebab itulah beliau menafikan kedua-duanya secara terpisah.
Al-Sabuni turut menyebut dalam kitabnya:
إثبات جميع الصفات الواردة في الكتاب والسنة من غير تشبيه ولا تمثيل ولا تكييف ولا تحريف
Maksudnya, ahli sunnah menetapkan semua sifat Allah yang disebut dalam al-Quran dan sunnah tanpa tasybih, tanpa tamsil, tanpa membagaimanakan, dan tanpa memutarbelitkan makna.
Oleh itu, kita dapat melihat bahawa ulama Ahli Sunnah secara tegas mencela tasybih dan tamsil, bukan hanya tamsil sahaja. Maha Suci Allah daripada segala bentuk tasybih dan tamsil dengan makhluk.
Adapun pandangan Syeikhul Islam Ibn Taymiyah dan para pengikutnya, mereka hanya mencela tamsil sahaja, bukan tasybih.
Kesimpulan:
Perbezaan antara Tasybih dan Tamsil: Tasybih merujuk kepada persamaan pada beberapa aspek antara dua perkara, manakala tamsil bermaksud penyamaan sepenuhnya. Menurut Ibn Taymiyah dan Ibnu Uthaimin tasybih yang tidak menyamai sepenuhnya tidak dicela oleh syarak, manakala tamsil yang melibatkan penyamaan total; dikeji.
Pandangan Ibn Taymiyah: Ibn Taymiyah berpendirian bahawa tasybih dalam konteks persamaan yang sedikit antara Allah dan makhluk tidak tercela, selagi tidak sampai kepada tahap tamsil. Beliau menegaskan bahawa syarak tidak mengeji tasybih, tetapi mengeji tamsil, dan musyabbihah yang dicela oleh salaf adalah mereka yang melakukan tamsil.
Pendirian al-Sabuni: Al-Sabuni menolak sebarang bentuk tasybih, walaupun sedikit, antara Allah dan makhluk. Menurutnya, sifat-sifat Allah tidak mempunyai persamaan langsung dengan makhluk, dan beliau mencela golongan musyabbihah serta mendoakan keburukan ke atas mereka.
Perbezaan Pandangan: Berbanding dengan Ibn Taymiyah dan Ibn Uthaimin, al-Sabuni membezakan secara tegas antara tasybih dan tamsil serta menolak kedua-duanya dengan jelas. Sementara itu, Ibn Taymiyah hanya menolak tamsil, tetapi tidak tasybih yang melibatkan sedikit persamaan sifat.
Pandangan Ahli Sunnah: Ulama Ahli Sunnah seperti al-Sabuni menyatakan bahawa sifat Allah ditetapkan tanpa tasybih, tamsil. Mereka berpegang bahawa tidak ada sebarang persamaan antara sifat Allah dan makhluk, dan segala bentuk penyamaan ditolak sepenuhnya.